>

MELANTIK PEGUAM. KENAPA DAN BAGAIMANA?

 

lantik lawyer

KENAPA PERLU MELANTIK PEGUAM?

1. Kenapa anda perlu melantik peguam untuk sesuatu keadaan yang melibatkan pengaplikasian undang-undang? Bukankah lebih menjimatkan kos sekiranya anda memulakan tindakan undang-undang sendiri tanpa melibatkan peguam dan bayaran pelbagai kos guaman yang tinggi?

2. Peguam secara umumnya berfungsi untuk membantu Mahkamah dan juga anda mendapatkan hak anda sewajarnya. Keperluan untuk melantik peguam bagi mewakili anda adalah untuk melancarkan proses tuntutan hak anda melalui proses Mahkamah. Proses Mahkamah kadangkala melibatkan proses dan prosedur yang rumit dan ianya perlu dipatuhi mengikut masa-masa yang ditetapkan. Kegagalan untuk mematuhi mana-mana proses ini boleh menyebabkan masalah kepada kes anda.

3. Peguam yang mahir dan berpengalaman pasti telah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan berkenaan dengan selok-belok undang-undang dan proses Mahkamah. Apatah lagi undang-undang dan proses Mahkamah adalah dua perkara yang tidak stagnan dan sentiasa berkembangmaju dari sehari ke sehari. 

4. Kegagalan untuk memahami dan melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran untuk berurusan dengan perkara-perkara diatas, bukan sahaja boleh menyebabkan sesuatu tindakan di Mahkamah itu dibatalkan, bahkan boleh menyebabkan anda terpaksa membayar kos kepada pihak lain. Dengan adanya peguam, perkara-perkara ini boleh dielakkan.

5. Peguam yang amanah sudah tentu akan memastikan kes anda dikendalikan dengan baik dan sewajarnya. Peguam tidak boleh bersikap cuai di dalam mengendalikan kes anda kerana sekiranya peguam didapati cuai, seseorang peguam bukan sahaja boleh dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara malah boleh juga disaman di Mahkamah. Sekiranya dilantik dan yuran guaman dibayar sepenuhnya, seseorang peguam tidak mempunyai pilihan melainkan melaksanakan tanggungjawabnya dengan tertib.  

6. Dengan melantik seorang peguam, anda tidak perlu digusarkan dengan persoalan-persoalan seperti langkah-langkah yang perlu diambil untuk memulakan sesuatu kes, menentukan Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk sesuatu tuntutan, pemformatan dan pemfailan kertas-kertas kausa dan pelbagai lagi isu-isu yang rumit dan kompleks untuk difahami.

7. Oleh yang demikian, sekiranya anda mempunyai pilihan maka langkah yang terbaik bagi anda adalah dengan melantik peguam (mana-mana peguam pilihan anda atau melalui Jabatan Bantuan Guaman yang berdekatan) untuk menguruskan kes anda di Mahkamah. 

BAGAIMANA UNTUK LANTIK PEGUAM?

8. Persoalan ini mungkin kedengaran mudah dan leceh tapi ramai di luar sana yang tidak tahu bagaimana cara untuk melantik seorang peguam. Apatah lagi para peguam kadang-kadang kelihatan seperti agak sukar untuk didekati.

9. Pertama anda perlu tahu bagaimana untuk mencari peguam. Langkah yang terbaik adalah melalui internet samada melalui carian google atau pun media sosial. Google sahaja peguam dan diikuti dengan jenis kes anda; samada harta pusaka, perceraian, kontrak, saman fitnah dan sebagainya. Boleh juga cari peguam mengikut lokasi yang mudah bagi anda.

10. Selepas anda mendapat peguam yang anda inginkan, hubungi firma peguam tersebut dan aturkan sesi konsultasi dengan peguam yang terlibat. Sesi konsultasi ini selalunya akan ada bayaran minima mengikut ketetapan peguam tersebut. Dapatkan dahulu caj konsultasi sebelum bersetuju untuk sesi tersebut. Caj konsultasi ini kadangkala bergantung kepada pengalaman peguam. Peguam yang lebih berpengalaman lazimnya akan mengenakan caj mengikut pengalaman beliau.

11. Selepas bersetuju untuk adakan sesi konsultasi, apa yang anda perlu bawa bersama? Seeloknya bawa salinan kesemua dokumen-dokumen yang anda rasa perlu digunakan sebagai rujukan semasa sesi konsultasi tersebut.

12. Selepas mendapat nasihat daripada peguam, anda bolehlah menilai kembali kes dan tuntutan anda. Peguam akan memberikan pandangan sepintas lalu samada anda mempunyai kes yang baik ataupun tidak. Seorang peguam yang beretika selalunya tidak akan menyatakan peratusan kemenangan atau menjanjikan apa-apa kerana, di Mahkamah, apa sahaja boleh berlaku.

13. Sekiranya anda membuat pilihan untuk meneruskan tindakan di Mahkamah, boleh dapatkan sebut harga daripada peguam. Sebut harga ini selalunya adalah yuran atau fi guaman yang perlu anda bayar untuk 1) membuka fail 2)memulakan tindakan. Pastikan anda mendapatkan maklumat secukupnya berkenaan dengan yuran guaman dan apa-apa fi yang perlu dibayar bagi mengelakkan salah faham.

14. Selepas semua terma dan syarat perlantikan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, lazimnya anda perlu menandatangani Surat Perlantikan atau Waran Untuk Bertindak. Dokumen ini akan menyatakan perlantikan peguam, skop kerja dan akujanji untuk membayar fi guaman. 

15. Yang paling penting, jangan lari dari membayar yuran guaman peguam anda kerana peguam berhak untuk tidak memulangkan dokumen-dokumen Mahkamah yang telah difailkan bagi pihak anda dan seterusnya menyaman anda. 

16. Bagaimana pula caranya untuk melantik peguam semasa Perintah Kawalan Pergerakan? Baca DI SINI.

lantik peguam kuala lumpur

Melantik peguam menjimatkan wang dan masa? Baca : https://norhafeezlaw.blogspot.com/2021/02/fungsi-peguam-2021.html  

Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.

5 Pertanyaan & Jawapan

  1. Assalamualaikum saya telah diberikan satu notis Saman kerana premise yg saya sewa sebelum ini telah didapati melakukan pengusikan meter TNB. Kejadian ini berlaku semasa Tempoh PKP. Pemilik telah menyewakan kepada penyewa lain. Selepas saya melepaskan kontraksewaan bangunan kepada pemilik, saya tidak dapat menamatkan langganan TNB kerana terhalang oleh prosedur PKP. Bagaimana cara saya membela diri kerana saya tidak mampu untuk melantik dan membayar peguam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. sekiranya tidak mampu melantik peguam, cuba rujuk Yayasan Bantuan Guaman Negeri

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam
  3. Saya juga telah memohon di Jabatan Guaman tetapi mereka tidak mengambil kes seperti ini

    BalasPadam

Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.