APA YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA MENERIMA SAMAN?
Anda kena saman? Perlu hadir ke Mahkamah? Apa perlu anda buat? Saman adalah sesuatu yang cukup ditakuti oleh kebanyakan orang awam, apatah lagi untuk menerima sesuatu Saman daripada sesuatu pihak yang lain. Ianya boleh mengganggu dan merunsingkan fikiran, mencuri tenaga dan masa dan yang paling penting sekali memerlukan kos yang boleh digunakan untuk perkara-perkara yang lebih penting.
Namun, sekiranya anda menerima Saman, apakah tindakan yang perlu anda lakukan? Ikuti beberapa langkah dibawah bagi memastikan langkah yang anda ambil itu langkah yang tepat sebelum merujuk kepada pihak peguam.
1. PASTIKAN NAMA DAN NO. KAD PENGENALAN ADALAH TEPAT.
Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah menyemak nama dan nombor kad pengenalan anda yang akan tertera pada muka hadapan Saman tersebut. Pastikan Nama dan No. Kad Pengenalan anda adalah tepat sepertimana yang tertera didalam kad pengenalan anda. Kadang-kadang kesilapan penyerahan saman kepada orang yang tidak sepatutnya diserahkan saman boleh berlaku.
2. CATITKAN NO. SAMAN, LOKASI MAHKAMAH, TARIKH SERTA MASA UNTUK HADIR.
Selalunya sesuatu Saman akan diserahkan bersama dengan sesalinan surat iringan yang mengandungi maklumat berkenaan nombor saman, lokasi Mahkamah, masa dan tarikh yang mana anda diwajibkan untuk hadir. Sekiranya anda perlu hadir ke Kompleks Mahkamah seperti Mahkamah Shah Alam ataupun Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, terdapat berpuluh dewan Mahkamah yang berbeza, jadi nombor saman adalah penting untuk digunakan sebagai rujukan di kaunter pertanyaan Mahkamah. Kakitangan Mahkamah akan membantu anda mendapatkan lokasi dewan Mahkamah yang tepat.
3. PASTIKAN KANDUNGAN PERNYATAAN TUNTUTAN.
Sesuatu Saman akan diserahkan bersama dengan Pernyataan Tuntutan. Pernyataan Tuntutan mengandungi sebab dan alasan kenapa anda disaman secara terperinci. Baca dan pastikan kandungan Pernyataan Tuntutan tersebut. Anda boleh menghubungi pihak yang menyaman ataupun peguamcara Plaintif untuk sebarang pertanyaan berkenaan dengan kandungan Pernyataan Tuntutan.
4. FAILKAN MEMORANDUM KEHADIRAN.
Sekiranya Saman yang anda terima adalah Saman daripada Bank ataupun sebarang saman yang melibatkan hutang, anda mempunyai masa selama 14 hari untuk memfailkan kehadiran. Anda tidak harus berlengah untuk memfailkan Memorandum Kehadiran yang selalunya akan dikepilkan bersama dengan Saman. Anda perlu mengisi Memorandum Kehadiran, hadirkan diri ke Mahkamah didalam masa 14 hari dari tarikh menerima Saman, pergi ke kaunter pemfailan dan membuat bayaran bagi pemfailan Memorandum Kehadiran tersebut. Atau cara yang lebih mudah, dalam masa 14 hari dari tarikh anda menerima Saman tersebut, anda boleh melantik peguam dan peguam seterusnya akan memfailkan Memorandum Kehadiran tersebut bagi pihak anda.
5. HADIR KE MAHKAMAH.
Tarikh pertama untuk anda hadir ke Mahkamah selalunya disebut sebagai tarikh pengurusan kes atau tarikh sebutan. Sekiranya anda melantik peguam, kehadiran biasanya akan dilakukan oleh peguam yang anda lantik dan anda tidak perlu hadir ke Mahkamah. Namun sekiranya anda tidak berkesempatan untuk melantik peguam, anda perlu hadir pada lokasi, masa dan tarikh yang ditetapkan. Sekiranya anda ingin mencabar Saman tersebut, maklumkan kepada Hakim bahawa anda ingin melantik peguam. Hakim selalunya akan memberikan masa untuk anda melantik peguam. Sekiranya anda mengakui tuntutan yang dibuat didalam Saman, maka anda bolehlah merekodkan penghakiman persetujuan dihadapan Hakim. Jangan sesekali memilih untuk tidak hadir ke Mahkamah.
6. LANTIK PEGUAM
Banyak langkah-langkah yang perlu dilakukan dan dokumen-dokumen yang perlu difailkan ke Mahkamah. Cara yang lebih mudah adalah dengan melantik seorang peguam untuk menguruskan kes anda di Mahkamah. Anda mungkin perlu mengeluarkan kos bagi membayar yuran guaman peguam tetapi anda sudah tidak perlu pening kepala dengan prosedur dan proses seterusnya. Bagaimana untuk melantik peguam? Baca DI SINI dan DI SINI.
Apa kesannya jika anda tidak hadir ke Mahkamah? Baca DI SINI.
Hubungi kami di 0129797494 atau menerusi email di norhafeezlaw@gmail.com atau menerusi kotak pertanyaan untuk sebarang maklumat lanjut.
0 Pertanyaan & Jawapan
Anda mempunyai sebarang pertanyaan? Tanya saya di sini atau whatsapp saya dengan klik butang whatsapp di skrin atau isi borang pertanyaan.